Thursday, October 14, 2010

Minda Rakyat Indonesia Perlu Diubah

Kedutaan Malaysia perlu mesra media, pamer imej baik negara kepada masyarakat republik itu

SUASANA cemas hasil perlakuan liar yang berlarutan buat beberapa bulan di persekitaran Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta oleh Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) kini nampaknya sudah reda. Oleh itu elok juga kita mendalami hubungan dua hala yang sebenarnya wujud antara Malaysia dan Indonesia. Umum mengetahui hubungan antara dua negara berjiran itu yang sering digembar-gembur saudara serumpun sentiasa berada pada kedudukan turun naik. Ada ketikanya ia amat akrab tetapi tidak kurang juga wujud keadaan tidak menyenangkan hingga berlaku permusuhan.
Yang amat membimbangkan adalah pengisytiharan Ganyang Malaysia oleh Presidennya ketika itu, Sukarno yang menentang keras penubuhan Malaysia dengan melancarkan konfrontasi terhadap negara yang baru muncul pada September 1963.

Walaupun waktu itu keadaannya agak cemas, apabila direnung kembali ia boleh dianggap sebagai suatu kelucuan kerana masakan negara ini boleh ditakluki dua gerombolan askar payung terjunnya yang mendarat di Labis dan Pontian, Johor. Semua askar itu berjaya dikepung dan ditangkap askar Melayu Diraja tanpa banyak kerenah.

Rupa-rupanya gerombolan itu percaya apa yang diberitahu pemerintah mereka kononnya mereka akan diterima dengan tangan terbuka oleh rakyat negara ini yang sememangnya menyokong Indonesia.

Ini seperti apa yang digembar-gemburkan BENDERA, kononnya ia menghantar pasukan risikan awal bagi menyiapkan hampir dua juta rakyat Indonesia yang berada di negara ini yang akan turut menyertai pasukannya itu.
Apa yang disimpulkan daripada kisah ini ialah bagaimana rakyat negara itu dengan mudah boleh dipermain dengan pembohongan yang turut digembar-gembur medianya.

Cuma kedudukan amat berbeza iaitu pada 1963, medianya dikongkong pemerintah dan terpaksa mengikut telunjuk pemerintahnya manakala sekarang medianya amat bebas hingga turut mengapi-apikan semangat mahu bermusuhan dengan Malaysia dengan pelbagai cerita karut. Antaranya Malaysia menciplak lagunya untuk dijadikan Negaraku (walhal lagu itu sebenarnya dicipta seorang pemuzik Perancis di Seychelles di Lautan Hindia Selatan pada kurun ke-19 ketika ia menjadi tanah jajahan Perancis).

Anehnya dalam suasana tegang demikian rakyat Indonesia berterusan pula ke Malaysia untuk mencari rezeki, baik sebagai pembantu rumah, pekerja ladang mahupun buruh binaan sehingga ada yang sanggup menaiki bot sarat muatan manusia merentasi lautan bergelora tanpa sebarang surat izin untuk masuk ke negara ini.

Kita mungkin boleh persoalkan kenapa rakyat Indonesia masih tidak mendapat berita sebenar khususnya mengenai Malaysia daripada medianya walau pun begitu bebas.

Sebenarnya kebebasan tanpa peraturan munasabah juga ada padahnya. Suasana begini memberi kebebasan secukupnya bagi mereka bertindak liar dengan menyiarkan berita sensasi tidak benar atau memanipulasi corak pemberitaan.

Tidak diketahui motif mereka tetapi yang jelas media Indonesia mudah dikuasai sesiapa saja yang mempunyai dana. Difahamkan ada individu tertentu menguasai beberapa medianya yang boleh digunakan untuk terus menyemarakkan persepsi buruk terhadap negara ini.

Hubungan dua hala Malaysia-Indonesia bukan saja mencakupi hubungan kerajaan dengan kerajaan tetapi juga rakyat dengan rakyat. Hubungan antara kerajaan keseluruhannya memang baik, lebih-lebih lagi selepas era Presiden Sukarno.

Tetapi tidak boleh dinafikan hubungan dan kefahaman antara kedua-dua rakyatnya amat mengecewakan. Persepsi rakyat Indonesia terhadap negara ini amat negatif.

Satu kaji selidik oleh Fakulti Sains Politik dan Sosial Universitas Indonesia di Jakarta pada April lalu mencerminkan persepsi rakyatnya terhadap negara ini. Daripada 250 pelajarnya yang ditemui, 120 orang (48 peratus) menganggap Malaysia sebagai ancaman utama.

Tidak diketahui apakah Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta tahu mengenai hasil kaji selidik itu. Kalau tidak tahu, ia menunjukkan kedutaan kita tidak prihatin dan tidak celik terhadap persepsi di kalangan rakyat Indonesia. Kalau tahu, apakah tindakan susulan memperbaiki persepsi negatif begini.

Apa yang dimusykilkan ialah bagaimana tidak proaktifnya kedutaan kita terhadap memupuk hubungan baik di kalangan rakyat melalui medianya.

Sehubungan itu, cara terbaik ialah berjinak-jinak dengan pimpinan media dan wartawan kanan berpengaruh. Tidak diketahui pula apakah usaha demikian dilakukan. Kalau mengikut apa yang saya tahu, waktu bertugas di Jakarta antara 1971 dan 1973 ketika membuka pejabat pertama BERNAMA di luar negara, usaha ini bukan menjadi keutamaan pihak kedutaan. Saya tidak fikir hal ini sudah berubah.

Maka itu tidak menghairankan hasil pungutan suara oleh akhbar Republika, sebuah akhbar nasional yang dikuasai kumpulan Islam yang bersikap lebih objektif dalam liputannya mengenai Malaysia pada 31 Ogos lalu menunjukkan lebih 76 peratus daripada pembacanya yang mengambil bahagian menganggap Malaysia sebagai musuh utama mereka. Soalan yang dimajukan: Namakan negara mana yang bermusuhan dengan Indonesia?

Jelas sekali persepsi rakyatnya terhadap negara ini amat buruk dan banyak perlu dilakukan sekiranya mahu wujudkan hubungan baik dan mesra dengan republik itu.

0 comments:

You Tube

Facebook