kunta kinte: LKY rindu tapi benci kepada Malaysia
2010/10/08
HIDUP atau mati, pemimpin nombor satu Singapura, Lee Kuan Yew, adalah seorang menderita sindrom benci tapi rindu terhadap negara kita Malaysia.
Pasal apa Kunta Kinte kata macam itu, pasal walaupun dah 45 tahun bercerai dengan Malaysia atau kena cerai oleh Malaysia, dia masih gila talak. Tapi kalau gila talak dan melalak saja tak apa. Ramai yang bercerai, kena penyakit gila talak. Yang kita takut, ada juga yang gila talak terus jadi gila hingga mengganas. Kunta Kinte teringat seni kata sebuah lagu zaman dulu-dulu yang berbunyi:
Bila bercerai saya termenung
Fikiran kusut pun menjadi bingung
Gila talak pun sudahlah sampai
Sejak Singapura dicerai talak tiga, Lee Kuan Yew atau LKY atau Harry Lee tak putus-putus bercakap mengenai kemungkinan satu hari nanti Singapura balik semula dalam dakapan Malaysia.
Macam sesetengah orang gila talak, ada masa dia berbahasa rindu dengan Malaysia dan ada masa dia berbahasa benci.
Dalam bahasa Inggeris, bolehlah Kunta Kinte kata LKY ‘obsess’ – tergoda, dihantui dan diganggu oleh perasaan yang pemecatan Singapura daripada Malaysia adalah tragedi peribadi bagi diri dia.
Dengan pemecatan itu, hilanglah peluang dia nak jadi pemimpin agung masyarakat Cina seberang laut melalui Malaysia.
Jadi, tak hairanlah bila dalam masa meratapi kematian isterinya, Kwa Geok Choo, LKY ambil peluang tempelak ‘Malaysian Malay leaders’ (pemimpin Melayu Malaysia).
Sebab itulah Kunta Kinte berulang kali bagi amaran kepada pemimpin negara kita, berhati-hatilah bila berunding, berurusan dan berniaga dengan Singapura. Bukan apa, tapi sikap anti-Melayu sangat tebal dalam benak pemimpin Cina Singapura itu.
Sejak zaman perjuangan lawan penjajah pada 1940-an dan 1950-an lagi, LKY dah anggap Melayu atau Dunia Melayu sebagai ancaman kepada ‘Chinese diaspora’ atau kecemperaan Cina di Asia Tenggara.
Sebab itulah, dia akhirnya buat ‘purge’ atau penyingkiran ke atas sahabat-sahabat seperjuangan Melayunya macam Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail dan Aziz Ishak.
Menurut laporan media antarabangsa yang tak disiar oleh media tempatan, kecuali portal berita dan blog, dalam ucapan selamat tinggal (eulogy) kepada mendiang Kwa, LKY bagi pujian kepada mendiang isterinya kerana ‘safeguarding the republic’s interest ‘each time Malaysian Malay leaders threatened to cut off our water supply.’ (Menyelamatkan kepentingan republik (Singapura) setiap kali pemimpin Melayu Malaysia mengancam memotong bekalan air (negara) kita.)
LKY kata Kwa bagi dia amaran jangan sertai Persekutuan Malaysia sebab politik pemimpin Melayu UMNO berasaskan bangsa dan agama.
Harry Lee kata, Kwa bertanggungjawab jamin Kerajaan Malaysia patuh kepada dua perjanjian bekalan air yang dimeterai pada 1961 dan 1962 bila Singapura ‘disingkirkan’ daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.
Kalau sesiapa yang belum tahu, mendiang Kwa adalah seorang peguam yang hebat dan dialah penasihat nombor satu LKY. Tetapi ramai orang tak tahu sebab Kwa tak tonjolkan diri, tak hemoi, selalu di belakang tabir dan tak suka glamor.
LKY kata, Kwa sangat berhati-hati dalam hal undang-undang dan cermat guna bahasa sehingga Perjanjian Perpisahan antara Singapura dan Malaysia didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan dijadikan contoh oleh Setiausaha Komanwel masa itu, Arthur Bottomley.
Begitulah pengaruh positif Kwa ke atas LKY dan pemerintahan Singapura yang Kunta Kinte rasa akan jadi lebih kuat bila Kwa hanya tinggal dalam kenangan.
Kunta Kinte tak hairan sikit pun kalau legasi Kwa ini akan jadi macam petua keramat dan serapah jampi dalam semua urusan antara Singapura dengan Malaysia.
Itulah sebab Kunta Kinte tak habis-habis ingatkan perunding kita, daripada yang paling atas kepada paling bawah, berjaga-jagalah bila berunding dengan Singapura.
Singapura tidak ada setuju dengan apa-apa pun kalau tidak selari dan sekata dengan falsafah ‘kiasu’, iaitu takut malu.
Kunta Kinte harap orang muda yang hari ini terajui politik dan ekonomi negara, belajar dan faham mentaliti kiasu ini kerana Singapura tidak akan terima kekalahan sebab ia takut malu.
LKY dia cukup pandai. Hari ini tidak ada pemuka Cina yang lebih faham minda Melayu daripada LKY. Sebab itu, bila dia menjelajah Semenanjung Malaysia akhir tahun lalu, dia boleh masuk keluar istana, kediaman rasmi dan pejabat pembesar seolah-olah dia Maharaja China.
Dalam pertemuan bersemuka, LKY cukup pandai ambil hati orang Melayu. Dia tahu orang Melayu suka dipuji, dipuja, diuli dan dirai.
Sebab itulah dia berjaya pikat hati dan taat setia orang Melayu Singapura dan pukau ramai orang Melayu di Malaysia.
Kunta Kinte tak kata kita tak boleh buka pintu dapur kita kepada LKY atau kepada Singapura. Tapi kita kenalah berjaga-jaga takut periuk nasi kita terlanggar dan hidangan untuk anak cucu kita tertumpah.
Kalau kita sangat yakin dan boleh jamin periuk nasi kita tak akan disentuh dan terjatuh, buatlah apa pun yang kita nak buat dengan Singapura.
Tapi kalau kita kurang yakin, Kunta Kinte rasa kita wajib periksa balik, takut-takut kita menang bersorak, tapi kampung tergadai.
Dalam temu ramah dengan surat khabar Amerika New York Times bulan lepas, LKY kata kalau Singapura tak disingkir, Malaysia dah jadi macam Singapura, iaitu dengan nasionalisme dan kepelbagaian kaum ala-KLY.
Tak tahulah orang lain, tapi Kunta Kinte rasa yang gila talak bukan kita atau rakyat Singapura, tetapi Lee Kuan Yew sebab dia gagal jadi pemimpin agung orang Cina seberang laut bila Singapura terkeluar dari Malaysia.
Kunta Kinte terbaca dalam manuskrip buku karangan bekas Peguam Negara Singapura, Francis T Seow yang tengah Kunta Kinte sunting sebuah petikan daripada LKY yang berbunyi: “We believe that in the end (Singapore and Malaysia) will come together again – and the end is not so very far away. …It is our hope that we shall eventually have a re-united Malaysia in which Singapore is part of Malaysia, (but) not on the last terms.”
“Kita percaya pada akhirnya (Singapura dan Malaysia) akan bersatu semula – dan waktu itu tidak terlalu jauh di hadapan … Ia adalah harapan kita yang kita akhirnya akan mempunyai Malaysia yang bersatu semula di mana Singapura adalah sebahagian daripadanya, tetapi bukan dengan syarat-syarat dahulu.) – Sidang akhbar pada 12 Ogos, 1965.
Macam mana pun, Kunta Kinte tetap ucap takziah kepada Lee Kuan Yew di atas kematian isterinya. Dia pun manusia macam kita juga.
0 comments:
Post a Comment