Friday, April 16, 2010

Tadahan Air Tiga tasik

Tadahan air tiga tasik
Oleh Nur Ikhwan Isa
rencana@hmetro.com.my
2010/04/15 ULU Muda adalah kawasan hutan hujan utama di Kedah yang bersempadan dengan Thailand. Hutan simpan seluas 120,000 hektar ini adalah kawasan tadahan hujan utama di utara tanah air merangkumi tiga tasik utama - Tasik Pedu, Tasik Muda dan Tasik Beris.



TARIKAN PELANCONG...Ulu Muda menjadi destinasi pelancongan baru di Kedah. sebelum - selepas


SANTAI...jika berminat memancing, anda boleh menghabiskan masa sehari suntuk di lubuk ikan di Ulu Muda.Walaupun menyimpan khazanah alam semula jadi, Ulu Muda kurang dikenali ramai dan belum diteroka sepenuhnya. Uniknya, walaupun masih dalam kawasan iklim tropika, ia memiliki beberapa ciri monsun kering yang lazimnya ditemui di Thailand.
Gabungan tanah rendah dan hutan berbukit menjadikannya kediaman untuk flora dan fauna. Peminat burung pasti menggemari kawasan ini yang dipenuhi spesies burung pemangsa berhampiran tasik.


Jika bernasib baik, anda boleh melihat mamalia seperti gajah atau tapir yang keluar minum di lopak air atau tepi tasik.

Ada banyak cara meneroka khazanah hutan ini, antaranya mengambil bot dari Jeti Gubir di Tasik Muda dan mengikuti denai laluan balak dengan kenderaan pacuan empat roda bermula dari Gulau.



Perjalanan dengan bot mengambil masa antara sejam atau lebih bergantung kepada kehendak penumpang.


Jika mahu menikmati suasana damai lebih lama, anda boleh mengikuti aliran anak sungai sebelum ia mengalir keluar ke tasik. Ini menghidangkan peluang untuk melihat burung di dahan pohon, mamalia dan memerang.

Laluan denai balak akan membawa anda ke kem jauh di tengah hutan yang kini mula dibangunkan sebagai pusat peranginan eko-pelancongan.


Mereka yang tidak berminat menaiki pacuan empat roda boleh menaiki bot terus ke kem. Ada kem lebih jauh sehingga memaksa perjalanan melebihi beberapa jam. Ia kerana di sesetengah tempat, penumpang terpaksa meredah arus sungai untuk menolak bot kerana air cetek.


Dari kem, pemandu pelancong akan membawa pengunjung meneroka khazanah alam semula jadi termasuk pokok hutan yang jarang ditemui dan kesan tapak kaki hidupan liar yang menggerunkan termasuk harimau.


Jika bernasib baik, anda dapat melihat gajah keluar minum di lopak air garam. Selain kian popular sebagai lokasi aktiviti kembara pacuan empat roda, Ulu Muda mendapat tumpuan kaki pancing. Ada yang mengisi masa dengan memancing dari satu pulau ke pulau lain atau menyewa bot.

>Info
> Hutan simpan ini terletak kira-kira 95 kilometer (km) dari Alor Star dan 140 km dari Pulau Pinang. Taman itu menjadi kediaman kepada pelbagai spesies menarik termasuk 109 jenis mamalia, burung (174), reptilia (54), amfibia (42) dan ikan (33).
> Ada juga spesies unik yang hanya dapat ditemui di hutan ini. Justeru, anda dinasihatkan untuk mengambil perkhidmatan pemandu pelancong berpengalaman untuk pengalaman yang lebih menarik.

RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Kedah
http://www.visitkedah.com.my

No comments:

You Tube

Facebook