Sunday, August 7, 2011

‘SERANGAN JAIS’ KE ATAS GEREJA: TANYA DIRI KITA DULU!

Serangan JAIS’ Ke Atas Gereja: Tanya Diri Kita Dulu!
Disiarkan pada Aug 07, 2011 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan
‘SERANGAN JAIS’ KE ATAS GEREJA: TANYA DIRI KITA DULU!
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)



Saya belum ingin mengulas tentang ‘serangan’ atau serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan ‘serangan’ itu. Cumanya, seperti mana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah. Saya ingin menyentuh tentang orang-orang Islam yang hadir ke majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka. Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi’. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;






1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain?

2. Mengapa kerenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM 100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?

3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!

4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang muslim menerima bantuan daripada bukan muslim. Apatahlagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

5. Jika dibincangkan disudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap orang untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu. Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa. Janganlah jika kita gagal membantu –sedangkan kita mampu- kita menyalahkan orang lain yang membantu.

6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?

Maka, banyak persoalan perlu masyarakat muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!

Sunday, December 19, 2010

Siapa Sebenarnya PejuangTanah Melayu

MALAYSIAINSIDER dan beberapa akhbar bukan Melayu, bertungkus lumus mendapatkan "fakta" dengan "menemubual" rakyat Malaysia bukan Melayu yang bekerja di luar negara. Seperti biasanya taktik mereka, komen-komen yang negatif terhadap Malaysia dilemparkan, seperti ketidakadilan sosial, keburukan dasar kerajaan dan berbagai lagi komen negatif yang menyakitkan.

Terbaru, akhbar The Sun menemubual dua orang ahli sejarah bukan Melayu, tanpa mendapatkan maklum balas daripada ramai lagi sejarawan Melayu mengenai buku teks sejarah sekolah menengah yang dikatakan telah "diselewengkan" faktanya, terutama berkaitan sumbangan bukan Melayu. Persoalan saya, kenapa baru sekarang dibangkitkan, kenapa tidak sejak dahulu lagi sebelum 2008? Apakah subjek sejarah itu hanya bercakap soal sumbangan kaum semata-mata? Bagaimana dengan fakta-fakta teras sejarah sesebuah negara?

Secara kebetulan pula, saya berkesempatan mengikuti Persidangan Nasional Paradigma Baru Perpaduan Bangsa yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara di bawah kluster sejarah, warisan dan sosio-budaya. Saya mengikuti pembentangan sejarah asas Tanah Melayu daripada profesor tersohor negara yang begitu meyakinkan. Yang saya pelik, kenapa profesor tersohor sejarah ini tidak dicari oleh wartawan media tersebut? Sedangkan kajian mereka terhadap bahan sejarah Melayu merentasi sempadan sehingga ke luar negara. Begitulah dalamnya mereka menggali ilmu sejarah dengan melakukan penyelidikan rapi. Negara kita juga mempunyai profesor sejarah tersohor bukan Melayu seperti Tan Sri Khoo Kay Kim. Kenapa pendapat beliau tidak diminta? Jawapannya mudah, pendapat Khoo Kay Kim tidak selari dengan media perkauman tersebut. Inilah perancangan halus yang mesti diketahui oleh kita semua.

Trend pemberitaan stereotaip media sebegini sudah dijangka. Bukan suatu perkara baharu. Semua yang dilakukan kerajaan tidak betul. Niat mereka hanya satu, mahu memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya akan datang, selepas itu mudahlah mereka untuk mengubah fakta dan sejarah. Sebelum tibanya hari pilihan raya itu, maka tekanan demi tekanan diberikan kepada kerajaan, bagi "membuka" hati rakyat agar menolak BN.

Bagi memenuhi niat serakah tersebut, setiap ucapan pemimpin-pemimpin BN akan dinilai dan diberikan perhatian satu-persatu. Tersalah cakap, buruk padahnya, akan segera disensasikan dan dipaksa supaya meminta maaf. Sedangkan Namewee, bukan sahaja tidak disuruh minta maaf, malahan disanjung dan dijunjung. Apakah kita masih buta?

Perlu diingatkan bahawa sejarah negara tidak hanya boleh dirujuk kepada perjuangan menentang Jepun dan komunis semata-mata. Begitu juga dengan sumbangan Yap Ah Loy dalam membangunkan Kuala Lumpur, tetapi semua itu tidak percuma. Setiap usaha dibalas dengan kekayaan hasil bumi bertuah ini.

Berbeza dengan mereka yang mempertahankan tanah air daripada berterusan dijajah sehingga nyawa menjadi gadaian. Sumbangan siapakah yang lebih besar dan patut ditonjolkan? Saya tidak fikir perjuangan menentang komunis dan Jepun itu perlu diperbesarkan sangat. Ini disebabkan ada sejarah tersurat dan tersirat yang perlu kita kaji di sebalik penentangan ini, yang kadangkala sengaja disembunyikan bagi menonjolkan kehebatan tokoh-tokoh tertentu yang dipilih. Saya tidak perlu ceritakan kerana saya telah jelaskan dalam artikel-artikel yang lalu, seperti kenapa Jepun memusuhi Cina (bukan Melayu) dan kenapa komunis serta MPAJA menentang Jepun?

Sebab-musabab ini perlu juga dijelaskan dengan rapi. Apakah benar tokoh-tokoh ini mempertahankan tanah air atau mempertahankan diri semata-mata? Adakah semangat nasionalisme mereka sebegitu kuat berbanding Leftenan Adnan dan Kanang anak Langkau (Iban Sarawak). Sudah tentu saya tidak perlu ceritakan tokoh-tokoh lain sebelum itu seperti Banting, Sharif Masahor, Rentap (Sarawak), Mat Salleh dan Antanum (Sabah). Saya sengaja tidak menyebut tokoh-tokoh Melayu bagi mengelakkan saya dituduh lebih Melayu dari Melayu.

Tahun lalu, perkara yang sama dibangkitkan, termasuk ketua pemuda MCA. Segelintir ultra kiasu ini tidak habis-habis mahukan watak seperti Lim Bo Seng, Gurchan Singh dan Sybil Karthigesu direkodkan sebagaimana Leftenan Adnan yang diberikan perhatian berserta fotonya sekali.

Cubalah buat perbandingan bagaimana Singapura menunggang terbalikkan sejarah negeri itu yang menjadi sebahagian Tanah Melayu suatu ketika dahulu dan kedudukannya di kepulauan Melayu? Sehinggakan sikap ultra kiasu turut diwasiatkan oleh mendiang Madam Kwa (isteri Lee Kuan Yew), mengingatkan suaminya sebelum meninggal, supaya jangan percayakan UMNO dan orang Melayu. Begitu dahsyatnya golongan Belanda minta tanah ini memutarbelitkan sejarah bumi Melayu.

Saya mengagumi ramai ahli sejarah yang kononnya "berwibawa" melakukan kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan sejarah dengan begitu baik. Apa yang menggusarkan saya adalah mengenai tujuan tersirat dan tersurat yang pada permukaannya nampak begitu baik, namun di sebaliknya terselit agenda tertentu. Memang tidak dinafikan juga ramai tokoh sejarah yang layak ditonjolkan. Namun, jika semua individu tertentu mahu dimasukkan, atas dasar semangat 1Malaysia, dibimbangi sudah tidak jadi buku teks lagi.

Catatan sejarah

Agaknya pada bahagian manakah dalam banyak-banyak catatan sejarah negara ini yang sebenarnya ada dalam minda kumpulan ultra ini? Bagaimana pula dengan era sebelum kependudukan Jepun? Adakah ia tidak penting disebabkan hanya orang Melayu sahaja yang mempertahankan tanah air ini daripada penjajah British, Belanda dan Portugis. Apakah pada pandangan "ahli sejarah" tersebut? Berapa ayat atau halamankah yang perlu dituliskan?

Sorotan semua peristiwa sebegini sepatutnya membuka mata kita semua bahawa kita jangan terlalu berharap kepada orang lain untuk membangunkan bumi tercinta ini. Biarlah mereka yang faham sejarah dan yang setia sahaja yang tinggal. Kita perlu menghargai mereka yang setia, kerana setia itu adalah asas kepada patriotisme.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keseronokan dan kebebasan, biarkan sahaja. Saya yakin, Perdana Menteri mahukan bakat yang berada di luar itu mempunyai semangat patriotisme yang tinggi kepada negara. Walaupun mereka berada di luar, mereka tidak pernah memburuk-buruk negara kita. Berbanding dengan mereka yang berada di dalam negara, tetapi menjadi duri dalam daging dan musang berbulu ayam.

Saya tidak kisah sama ada mereka yang bekerja di luar negara akan kembali atau tidak, kerana pada saya kesetiaan kepada negara itu yang paling penting, berbanding tenaga yang mengalir ke luar. Apa ertinya tenaga tersebut dipanggil balik jika kesetiaan tidak ada dan asyik mengungkit agar perkara-perkara sensitif dihapuskan. Itu lebih bahaya daripada mereka terus tinggal di luar negara. Jika kesetiaan itu sudah tiada, balik pun tidak ada ertinya. Kerana semangat patriotisme bermula dengan kesetiaan.

Biarlah mereka mencari kebahagiaan di luar sana. Saya yakin mereka yang setia akan kembali jua akhirnya. Mungkin buat masa ini mereka ada komitmen dan perancangan tertentu. Yang perlu dipanggil balik adalah mereka yang setia, bukannya yang ultra kiasu dan tidak mengenang budi.

Saya yakin, pandangan saya ini akan dikatakan sebagai merosakkan gagasan 1Malaysia. Hari ini gagasan 1Malaysia tidak lagi dilihat sebagai pelan tindakan kerajaan untuk membangunkan dan menyatupadukan rakyat mengikut fakta sejarah, tetapi gagasan ini dijadikan batu loncatan untuk mendapatkan kepentingan dan nafsu kaum masing-masing.

Buktinya begitu jelas, DAP mencabar Perdana Menteri supaya melantik bukan Melayu menjadi Timbalan Perdana Menteri. Sedarlah diri wahai DAP, bumiputera Sabah dan Sarawak lebih layak untuk jawatan tersebut. Saya cadangkan pemimpin DAP tersebut membawa idea ini ke China atau India, supaya mendesak mereka melantik Timbalan Perdana Menteri di kalangan bangsa yang sama tetapi beragama Islam? Apakah pandangan ini akan diterima?

Sama juga desakan MIC supaya kerusi menteri penuh diberikan kepada presiden MIC yang baru dilantik, tanpa menganggu-gugat jawatan menteri Kabinet wakil India yang sedia ada. Persoalan saya, kerusi siapakah yang patut dikorbankan? Fikir punya fikir, akhirnya kerusi UMNO juga yang menjadi mangsa kerana orang lain sudah tentu tidak mahu mengalah? Sedikit diambil maka hebohlah satu Malaysia.

Berpada-padalah wahai rakyat 1Malaysia. Kerusi yang dimenangi oleh MCA dan MIC majoritinya adalah undi ehsan orang Melayu.
Oleh: Dr Ridhuan Tee Abdullah

Wednesday, October 27, 2010

ETP:Tambah Kelab Malam dan Spa

ETP: Lebih banyak kelab malam, spa akan dibina

Andrew Ong

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika - Adam Lambert yang seorang 'gay'.

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Kriteria berkenaan adalah:

* Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;

* Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan

* Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.

Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.

Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.

Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

"Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020," petik laporan itu.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.

Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan. [malaysiakini.com]

You Tube

Facebook